PENGENALAN
Disleksia berasal daripada perkataan Greek iaitu dyslexia yang bermaksud dys-sukar dan lexis-perkataan. Maka disleksia dimaksudkan sebagai sejenis masalah pembelajaran khusus iaitu kesukaran terhadap perkataan. Kanak-kanak mempunyai masalah menguasai pembelajaran di sekolah walaupun mereka telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menguasai pembelajaran di sekolah dengan mendapatkan rangsangan serta panduan pembelajaran yang mencukupi. Masalah asasnya adalah perbezaan dari segi cara otak individu tersebut berfungsi dalam menghubungkan simbol visual dengan bunyi. Individu yang mengalami disleksia mungkin menghadapi kesukaran untuk membaca, menulis, memahami, mengeja dan mengira. Kajian mendapati bahawa dianggarkan 4 - 8 % pelajar sekolah mempunyai masalah disleksia dalam kalangan kanak-kanak lelaki lebih ramai berbanding perempuan.
Rajah : Perbezaan antara Otak Individu Normal dengan Otak Individu Disleksia
CIRI-CIRI DISLEKSIA
Sebagai seorang guru adalah penting untuk mengetahui dan mengenal pasti masalah disleksia dalam kalangan pelajarnya. Terdapat beberapa ciri yang boleh dikenal pasti oleh para guru untuk mengesan anak-anak murid yang mempunyai masalah disleksia.
Antara ciri-ciri tersebut ialah:
i. Tahap persekolahan
ii. Masalah fizikal dan pengurusan diri
iii. Masalah dalam pembelajaran
iv. Masalah dalam bahasa
v. Masalah semasa membaca
vi. Masalah penulisan
1. Ciri-ciri Disleksia dari Tahap Persekolahan
Tahap Persekolahan | Ciri-ciri Disleksia |
Kanak-kanak Prasekolah | v Kemahiran bertutur yang lambat. v Sukar untuk memahami arahan yang diberi. v Suka menggantikan perkataan yang didengar v Kemahiran motor kasar dan motor halus yang lemah v Seringkali terlupa nama benda-benda yang dipelajari v Suka mendengar orang lain membaca tetapi tidak berminat untuk membaca sendiri |
Murid-murid Sekolah Rendah | |
6 hingga 9 tahun | v Kemahiran membaca, menulis dan mengeja yang lemah v Suka menterbalikkan perkataan, huruf dan nombor v Menggunakan jari untuk mengira dan membaca v Keliru dengan kiri dan kanan v Tulisan cermin atau terbalik |
9 hingga 12 tahun | v Kesilapan membaca, mengeja dan lemah dalam kefahaman v Mengambil masa yang panjang untuk menyiapkan latihan v Kesukaran menyalin maklumat yang tertulis pada papan putih atau terkandung dalam buku teks v Sukar mengikuti arahan lisan yang panjang |
Ciri-ciri disleksia lain yang dapat dikenal pasti adalah dari segi:
2. Masalah Fizikal, Pengurusan Diri dan Sosial
Individu yang mempunyai masalah disleksia biasanya cara pemakaian mereka tidak kemas tetapi tidak kotor. Sebagai contohnya, mereka mengenakan butang baju yang bukan pada kedudukan yang betul dan tali kasut tidak diikat dengan betul. Individu ini juga dikatakan seorang yang kidal. Mereka sering dilabel sebagai individu yang pemalas dan bodoh kerana mereka kurang memberi tumpuan semasa sesi pembelajaran dan kelihatan tidak berminat dalam pelajaran. Individu ini sentiasa keliru dengan arah iaitu di antara depan-belakang: kiri-kanan: atas-bawah. Walaupun telah diajar berulang kali kepada individu yang mempunyai disleksia, namun mereka tetap melakukan kesalahan yang sama. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka mempunyai masalah ingatan jangka pendek iaitu proses yang membolehkan maklumat diterima dan disimpan dalam tempoh yang singkat di antara 30 saat sehingga 24 jam. Hal ini berlaku kerana had muatan menyimpan maklumat yang adalah terhad. Sesetengah maklumat dalam sistem ingatan jangka pendek akan memasuki sistem ingatan jangka panjang dan diberi penumpuan dan diulang-ulang. Maklumat yang masih tersimpan di sistem ingatan jangka pendek akan padam atau hilang begitu sahaja. Oleh sebab itu, anak disleksia mengalami kesulitan memahami arahan yang panjang dalam satu waktu yang pendek. Mereka mempunyai pengamatan yang lemah dari segi pendengaran, penglihatan, dan mengingat kembali. Individu yang menghidap disleksia ini tiada masalah dalam komunikasi tetapi mereka lambat dalam tindakan berlisan.
3. Masalah dalam Pembelajaran
Secara umumnya, kanak-kanak disleksia mempunyai kecerdasan yang normal dengan kanak-kanak yang lain. Kebanyakan mereka mempunyai IQ yang normal dan sebahagian daripda mereka mempunyai kecerdasan yang luar biasa. Walau bagaimanapun, mereka mempunyai masalah dalam mencari semula perkataan. Misalnya, di dalam kelas guru bertanyakan tentang apa yang telah dibaca oleh mereka dan mereka tidak dapat mengingati apa yang telah dipelajari atau dibaca pada masa lepas. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka hanya boleh mengingati peristiwa lepas hanyalah lebih kurang 10 minit lepas kejadian disebabkan daya ingatan mereka adalah lemah. Mereka juga sering mengalami masalah dalam mengingati nama kawan-kawan mereka walaupun sering belajar atau bermain bersama-sama. Apa yang paling malang juga, mereka juga sukar untuk mengingati nama ahli keluarga dan nama mereka sendiri. Mereka akan merujuk individi yang dimaksudkan itu sebagai ‘kawan saya di sekolah’ atau ‘budak lelaki itu’. di sekolah, mereka juga akan mengalami kesukaran untuk mengingati fakta-fakta terutama yang berkaitan dengan mata pelajaran Sains dan Sejarah. Apabila mereka ditanya suatu soalan, mereka tidak dapat menjawab secara spontan dan akan menjadi kaku serta bisu. Mereka juga mengalami kelemahan dalam menyelesaikan masalah matematik. Namun begitu, mereka berkemungkinan pantas menyelesaikan masalah matematik dalam bentuk matematik lisan atau congak. Hal ini dikatakan demikian kerana individu disleksia ini lebih memilih untuk menggunakan bahasa lisan daripada penulisan. Daya tumpuan individu disleksia yang terhad menyebabkan mereka sering merenung buku dan suka mengigit jari atau pen sewaktu sesi pembelajaran berlangsung, seolah-olah mereka tidak faham sewaktu membuat kerja bertulis.
4. Masalah dalam Bahasa
Ciri-ciri disleksia lain yang boleh dikenal pasti dalam kalangan pelajar ialah individu disleksia ini akan mengalami kesukaran untuk belajar bahasa. Hal ini dikatakan demikian kerana kosa kata tulisan mereka tidak seimbang dengan kosa kata lisan dan mereka juga lemah dalam menyusun isi dalam penulisan mereka. Kebanyakan masalah kanak-kanak disleksia ialah sukar dalam mengingati maklumat secara tersusun seperti mengingat semula kronologi atau peristiwa yang berlaku dalam mata pelajaran Sejarah. Kekurangan kemahiran mengeja pada tahap sepatutnya juga merupakan ciri disleksia yang boleh didapati dalam diri individu disleksia. Hal ini disebabkan oleh kekeliruan dengan abjad-abjad yang mempunyai bentuk yang hampir sama. Kemahiran membaca teks bacaan atau babak bercetak turut menjadi kelemahan kepada individu yang mempunyai disleksia. Mereka akan mengalami ketidaklancaran ketika membaca teks bacaan kerana apabila mereka melihat abjad-abjad yang terdapat pada teks tersebut, mereka akan mengatakan bahawa tulisan pada teks itu sedang menari-nari.
5. Masalah Semasa Membaca
Apabila guru meminta individu yang mempunyai disleksia membaca buku di hadapan kelas, mereka berpura-pura membaca buku tersebut berpandukan gambar yang dilihat atau mereka akan mereka-reka cerita. Oleh sebab itu, mereka akan teragak-agak untuk membaca dan cuba mengelak dari membaca di kelas. Mereka juga menghadapi masalah pengekodan fonologi yang merujuk kepada hubugan sistematik antara huruf dengan bunyi. Secara ringkasnya, kanak-kanak disleksia lazimnya mengalami kesukaran membezakan antara ‘paku’ dengan ‘pasu’. mereka juga tidak dapat ‘mendengar’ rima akhir yang sama antara perkataan. Misalnya jika disuruh mengeja perkataan ‘diam’, ia kan menjadi “diyam” kerana mereka mengeja berdasarkan bunyi.menurut Presiden Persatuan Dylexia Malaysia (PDM), Sariah Amin, golongan disleksia kebiasaannya berdepan masalah membezakan huruf ‘b’ dengan ‘d’ , ‘m’ dengan ‘w’, ‘ny’ dengan ‘j’,’p’ dengan ‘q’dan ‘a’ dengan ‘e’ disebabkan bentuknya yang serupa walaupun cara membunyikannya berbeza. Ini juga bermakna mereka juga mempunyai kecenderungan untuk membaca nombor secara terbalik. Misalnya, nombor yang tertera di atas kertas ialah 15, namun kanak-kanak yang menghidap disleksia akan melihat nombor tersebut kepada angka 51. Kesukaran ini bukanlah disebabkan oleh masalah pendengaran, sebaliknya berkait dengan pemprosesan maklumat di dalam otak.
6. Masalah Penulisan
Tabiat dalam penulisan individu yang menghidap disleksia ialah tulisan mereka amat buruk sehingga tidak boleh dibaca serta mereka akan selalu menekan alat tulis sewaktu menulis. Anak disleksia ini juga tidak menggunakan huruf besar di depan ayat sewaktupenulisan dan tidak dapat menulis dengan lancar serta tepat. Kesukaran untuk melakukan peniruan dan penyalinan tulisan di papan tulis atau buku turut dialami oleh kanak-kanak disleksia ini. Mereka juga tidak boleh menumpu kepada sesuatu tulisan dengan lama. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka mudah penat apabila melihat huruf dalam waktu yang lama.
Untuk memahami lebih lanjut mengenai disleksia, anda boleh menonton satu cerita mengenai seorang budak lelaki yang mempunyai disleksia.
Link: https://www.youtube.com/watch?v=0qN4zVvM4HU
RUJUKAN
Aminah Kassim ( 2020, 28 Ogos). Disleksia diperoleh daripada Disleksia - PORTAL MyHEALTH
Iza Syahroni (2021). Ciri-ciri Disleksia pada Anak Usia Dini diperoleh daripada CIRI-CIRI DISLEKSIA PADA ANAK USIA DINI | Jurnal Buah Hati (bbg.ac.id)
Khazriyati Salehuddin (2018). Psikolinguistik Penerokaan Minda Berlandaskan Bahasa. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Norul Haida bt. Hj. Reduzan (2013). Ilmu Psikolinguistik. Perak: Emeritus Publications.
Zulikha Jamaludin (2017). Disleksia. Penerbit Universiti Putra Malaysia.
No comments:
Post a Comment