Thursday, December 22, 2022

Peringkat Kanak-Kanak yang Tidak Normal Memperoleh Bahasa Pertama

PENGENALAN 

  Pemerolehan bahasa pertama merupakan sebuah proses terjadi ketika kanak-kanak yang belum pernah belajar bahasa apa pun, mulai menguasai sesuatu bahasa tanpa disedari atau dipelajari secara langsung iaitu tanpa melalui pendidikan secara formal, sebaliknya memperolehnya dari bahasa yang dituturkan oleh ibu bapa atau ahli masyarakat disekitarnya. Proses pemerolehan bahasa pertama ini memakan masa yang panjang untuk kanak-kanak itu mengenal sebuah bahasa sehingga dia fasih berbahasa. Menurut Dardjowidjojo, istilah pemerolehan dipakai untuk padanan istilah Inggeris acquisition, yang merupakan suatu proses penguasaan bahasa yang dilakukan oleh anak secara semulajadi semasa dia belajar bahasa ibunya. Manakala, Chaer pula memberikan pengertian bahawa pemerolehan bahasa atau acquisition merujuk kepada sebuah proses yang berlangsung di dalam otak kanak-kanak ketika dia memperoleh bahasa pertamanya.

    Pada umumnya, setiap bayi yang normal akan mengalami proses perkembangan bahasa secara berperingkat-peringkat dan bersifat arbitrari. Perkembangan bahasa kanak-kanak akan menjadi lebih mantap dan sempurna mengikut perkembangan usia kanak-kanak tersebut. Menurut Mangantar Simanjuntak (1987), peringkat perkembangan bahasa ini boleh dibahagikan kepada peringkat mengagah,peringkat holofrasa, peringkat ucapan dua kata, peringkat permulaan tatabahasa, peringkat menjelang tatabahasa dewasa dan peringkat kecekapan penuh. Seseorang kanak-kanak yang normal akan melalui tiga proses pemerolehan bahasa iaitu proses pemerolehan komponen fonologi,sintaksis dan semantik. Ketiga-tiga proses ini akan berlaku secara serentak.

 Kanak-kanak normal akan menguasai sesuatu bahasa jika dia terdedah kepada bahasa tersebut kerana dia akan mendengar dan meniru apa yang didengarinya (immitates). Walau bagaimanapun, tidak semua kanak-kanak mampu menguasai dan memperoleh bahasa mengikut kadar yang sama dari segi tempoh masa ataupun peringkat prestasi kemahirannya.

     Terdapat keseimbangan faktor-faktor pengaruh yang diperoleh oleh kanak-kanak disebabkan perbezaan kadar tersebut iaitu keadaan fizikal, kecerdasan, perkembangan kognitif dan daya diskriminasi, pengalaman,persekitaran,emosi, motivasi serta sahsiah.

    Kewujudan faktor-faktor pengaruh yang diperoleh oleh kanak-kanak ini serta perbezaan kadar yang ada atau yang diterima oleh mereka akan menimbulkan satu jurang perbezaan dari aspek pencapaian atau kemampuan kanak-kanak untuk menguasai bahasa. Faktor yang positif seperti persekitaran yang baik dan kondusif akan memberikan seseorang kanak-kanak itu pengalaman yang kaya ke arah perkembangan pemerolehan bahasanya.

 

    Kanak-kanak yang tidak normal berbeza dengan kanak-kanak normal yang sebaya dengan mereka dari segi mental, keupayaan pancaindera, kebolehan berkomunikasi, perlakuan sosial dan ciri-ciri fizikal yang terdapat pada mereka. Kelainan yang terdapat dalam diri kanak-kanak yang tidak normal ini menyebabkan mereka memerlukan pendidikan yang berlainan untuk mengembangkan keupayaan mereka ke tahap yang maksimum ( Krik & Gallagher, 1989 dalam Zamri Mahamod, 2007).

    Kanak-kanak yang tidak normal atau keperluan khas adalah gelaran yang diberikan kepada kanak-kanak istimewa atau kanak-kanak yang cacat. Peringkat pemerolehan bahasa kanak-kanak akan terganggu sekiranya kanak-kanak itu menghidap sebarang kelainan atau kecacatan pendengaran (pekak), kecacatan penglihatan (buta) dan kecacatan pertuturan (bisu).

  


PERINGKAT PEMEROLEHAN BAHASA 

Terdapat 4 peringkat pemerolehan bahasa kanak-kanak:

  1. Peringkat Bebelan (Vokalisasi) 
  2. Peringkat Pertuturan Satu Kata (Holofrasa) 
  3. Peringkat Pertuturan Dua Kata dan Tiga Kata (Telegrafik)
  4. Peringkat Perkembangan Ayat Kompleks






1. Peringkat Bebelan (Vokalisasi) Kanak-Kanak Tidak Normal


Kanak-kanak yang tidak normal mengalami peringkat vokalisasi yang sama seperti kanak-kanak normal iaitu pada usia 6 bulan. Mengikut Menn dan Stoel Gammon (Babbling:On-line), dalam perkembangan bahasa, tempoh vokalisasi pralinguistik atau tempoh mengagah boleh dibahagikan kepada lima tahap. Tahap pertama ialah tahap tangisan ‘cooling’ yang membolehkan kehendak dan keperluan bayi dipenuhi. Tahap kedua pula ialah tahap vokal atau bebelan. Bayi akan mula menghasilkan bunyi-bunyi berkukur atau mendekut dan pada ketika ini, dalam masyarakat Melayu, bayi-bayi dilabel sebagai sudah berkebolehan untuk “ mengagah”. Bunyi-bunyi berkukur ini terdiri dari bunyi-bunyi vokal rendah atau terbuka seperti /a:/ dan /o:/, dan bunyi-bunyi vokal tinggi dan tertutup seperti /u:/ dan /i:/. Pada peringkat umur 1 hingga 4 bulan, kanak-kanak tidak normal boleh menyebut bunyi-bunyi vokal, contohnya seperti ‘uuuuuuu…’ serta boleh menghasilkan pelbagai variasi bunyi. Bunyi-bunyi ini dipercayai dihasilkan oleh bayi sebagai tanda mereka sedang menerokai dan melatih alat-alat pertuturan mereka. yang menariknya, bunyi-bunyi berkukur yang dihasilkan oleh bayi ini adalah sama dan bersifat universal. Bunyi-bunyi yang dihasilkan adalah sama seperti kanak-kanak normal selepas tahap ini, bunyi-bunyi bahasa daripada kanak-kanak yang mengalami kecacatan pendengaran akan hilang sedangkan kanak-kanak normal akan meneruskan proses pemerolehan bahasa ke tahap berikutnya. Hal ini dikatakan demikian kerana masalah pendengaran yang dialami tidak membolehkan kanak-kanak ini mengadaptasi dan meniru bunyi bahasa dari persekitaran mereka. Justeru itu, pada usia 8 bulan, mereka tidak dapat mengadaptasi dan meniru bunyi bebelan berdasarkan tahap ( canonical babbling) yang tidak mirip dengan suku kata orang dewasa. Sewaktu kanak-kanak normal memperoleh bahasa verbal, kanak-kanak yang bermasalah pendengaran atau pekak masih lagi berada pada tahap komunikasi dengan menggunakan gerak badan (Mengantar Simanjuntak, 1987).

 

2. Peringkat Pertuturan Satu Kata (Holofrasa) Kanak-Kanak Tidak Normal



Pada peringkat umur 9 hingga 10 bulan, kanak-kanak telah dapat memberi isyarat atau menunjukkan sesuatu yang dikehendaki. Tindak balas ini akan berlaku kepada semua kanak-kanak termasuk kanak-kanak yang tidak normal juga. Mereka akan memberikan tindak balas vokal dan menyatakan hasrat melalui isyarat, gerak mata dan suara mereka. Manakala, kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran atau pekak tidak dapat memberikan tindak balas dengan sokongan dari suara. Kanak-kanak tidak normal akan menyatakan hasrat  mereka melalui isyarat anggota badan mereka seperti isyarat mata atau tangan tanpa sokongan suara berbeza dengan kanak-kanak normal yang menyatakan hasrat dan keinginan mereka dengan sokongan suara. Pada peringkat ini peranan sebagai ibu bapa sangat penting dalam melihat dan menyedari perkembangan dan perubahan tingkah laku serta bahasa kanak-kanak.

3. Peringkat Pertuturan Dua Kata dan Tiga Kata (Telegrafik) Kanak-Kanak Tidak Normal


Peringkat pertuturan dua atau tiga kata umumnya berlaku ketika kanak-kanak berusia 18 dan 24 bulan. Mereka sudah dapat menghasilkan kata-kata yang membentuk ayat pendek. Lain pula dengan kes kanak-kanak yang tidak normal seperti kanak-kanak yang pekak. Mereka tidak akan dapat mendengar dan meniru bunyi-bunyi yang ada di persekitaran mereka. Kanak-kanak ini masih boleh berbahasa dengan baik jika mereka didedahkan dengan persekitaran bahasa yang betul daripada individu yang serasi dan mempunyai hubungan yang rapat dengan kanak-kanak ini.

 

4. Peringkat Perkembangan Ayat Kompleks Kanak-Kanak Tidak Normal


 Dalam pemerolehan bahasa, kanak-kanak yang cacat penglihatan akan bergantung sepenuhnya kepada deria pendengaran, sentuhan, bau dan juga deria rasa mereka. Umumnya, kanak-kanak cacat penglihatan mampu berkomunikasi menggunakan kemahiran lisan atau bertutur dengan mendengar untuk belajar di persekitaran mereka. Sekiranya mereka tidak dapat menemui sesuatu yang diperlukan, mereka akan bertanya kepada orang lain dan perlu mematuhi peraturan yang diberikan kepadanya. Selain  itu, kanak-kanak yang cacat penglihatan juga lebih bergantung kepada kemahiran mendengar. Mereka memerlukan gaya serta intonasi yang betul, lancar dan nada sesuatu perkataan yang diucapkan sebagai bantuan untuk memudahkan mereka memahami sesuatu perkataan yang dituturkan itu.  








RUJUKAN 

Dardjowidjojo,S (2007). Psikolinguistik: Memahami Asas Pemerolehan Bahasa. Selangor: PTS Profesional.

Khazriyati Salehuddin (2018). Psikolinguistik Penerokaan Minda Berlandaskan Bahasa. Penerbit            Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Noor Aida Dani (2007). Siri Penataran Bahasa dan Sastera : Pengantar Psikolinguistik. Sasbadi Sdn. Bhd.

Norul Haida bt. Hj. Reduzan (2013). Ilmu Psikolinguistik. Perak: Emeritus Publications.

Suci Rani Fatmawati (2015,1 Jun). Pemerolehan Bahasa Pertama Anak Menurut Tinjauan                     Psikolinguistik  diperoleh daripada           http://journal.uinsi.ac.id/index.php/lentera_journal/article/view/429 



 

 



Kaedah Pengajaran Bahasa Kedua

 PENGENALAN 

 


Pemerolehan bahasa kedua merujuk kepada perkembangan bahasa orang dewasa. Kebanyakan orang berpendapat bahawa kanak-kanak lebih mudah dan cepat mempelajari bahasa kedua berbanding orang dewasa. Hal ini dikatakan demikian kerana perkembangan bahasa pada peringkat bayi telah dipengaruhi oleh perkembangan neurologi otak manusia. Apabila otak seseorang matang, maka bahasa yang lebih kompleks berupaya untuk dihasilkan. Menurut Abdullah Hassan (1989), proses pembelajaran bahasa kedua berlaku terhadap mereka yang melebihi umur lima tahun iaitu berlaku secara tidak semula jadi. Pembelajaran itu pula berlaku dalam lingkungan masyarakat bahasa yang dituturkan dan dalam kegiatan budaya yang tertentu. Krashen (1981) turut menyenaraikan pelbagai kaedah yang dapat membantu atau mengatasi masalah yang timbul dalam proses pembelajaran dan pemerolehan bahasa kedua.

Antara kaedah pengajaran bahasa kedua ialah:

i. Kaedah nahu terjemahan

ii. Kaedah terus

iii. Kaedah semula jadi

iv. Kaedah ajuk-hafaz

v. Kaedah linguistik

vi. Kaedah gerak balas fizikal keseluruhan

vii. Kaedah suggestopedia

 

1. Kaedah nahu terjemahan


Kaedah ini menerangkan tentang pendedahan perbendaharaan kata pada peringkat awal pembelajaran. Terjemahan merupakan aspek yang penting dalam konteks ini. Kata-kata diberi dalam bentuk yang terasing daripada konteks dan disusun dalam ayat melalui hukum tatabahasa. Hukum-hukum tatabahasa kemudiannya dihafaz sebagai cara untuk menguasai bahasa tersebut. Pemahaman terhadap isi bukannya isu utama sebaliknya penekanan diberikan kepada latihan tatabahasa yang menggunakan terjemahan ke dalam bahasa ibunda. Misalnya, senarai perbendaharaan ini dipasangkan dengan makna dalam bahasa pertama. Selepas itu, pelajar disuruh membuat ayat-ayat dengan menggunakan senarai perbendaharaan itu berdasarkan hukum tatababahasa yang telah dipelajari. Hal ini membolehkan para pelajar memahami nahu sesuatu bahasa dan membolehkan mereka menulis bahasa kedua dengan betul. Hal ini dikatakan demikian kerana perkembangan kaedah ini bermula sejak tahun 1960-an apabila ahli linguistik iaitu Laurent Metzger, mula mengkaji bahawa bahasa itu adalah satu sistem dan bukan perkataan semata-mata. Melalui kaedah ini, seseorang lebih mudah memahami tatabahasa bahasa kedua dan menggunakannya dengan betul, membolehkan seseorang menterjemahkan bahasa asing kepada bahasa ibunda atau sebaliknya serta penguasaan terhadap perbendaharaan kata yang luar membolehkan seseorang lebih yakin ketika berhadapan dengan sesiapa pun.


2. Kaedah terus

Kaedah terus pula ialah pelajar tidak dibenarkan menggunakan bahasa ibunda. Penjelasan tentang makna dijelaskan dalam bahasa tersebut juga. Micheaal West dan Harald Palmer (1920-1935) ialah orang yang bertanggungjawab memperkenalkan kaedah ini kepada umum. Kaedah ini mirip kepada kaedah tentera yang ditolak oleh Micheal Fries, Profesor Linguistik dari UniversitiMichigan yang diperkenalkan sebagai satu lagi kaedah, iaitu kaedah Audio-Lingual. Kaedah terus dikenali sebagai kaedah tentera kerana ia diguanakan untuk melatih pengawai tentera dan diplomat dalam Perang Dunia Kedua dahulu. Tujuan kaedah ini diperkenalkan supaya membolehkan pelajar-pelajar menguasai keempat-empat kemahiran bahasa iaitu kemahiran mendengar,bertuturr, membaca dan menulis. Kaedah terus ini memberi keutamaan dalam pengajaran yang berdasarkan psikologi kanak-kanak. Kaedah ini mempunyai objektif untuk membolehkan kanak-kanak menguasai keempat-empat kemahiran bahasa dengan lebih efektif dan membolehkan mereka menguasai penggunaan bahasa kedua. Kaedah ini sangat sesuai dipraktikkan dalamkalangan kanak-kanak untuk mempelajari bahasa kedua kerana sifatnya sama dengan kaedah menguasai bahasa ibunda atau bahasa natif mereka.

 

3. Kaedah semula jadi


Kamarudin Hj. Husin (1997) memberi pandangan bahawa kaedah semula jadi ini merupakan salah satu kaedah yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran. Kaedah semula jadi ini menekankan kepada pengunaan bahasa dalam situasi komunikatif melalui penguasaan berperingkat. Kaedah ini berasaskan model kanak-kanak mempelajari bahasa pertamanya dalam keadaan ini nahu tidak diajar dan terjemahan tidak relevan. Pembelajaran dilakukan melalui perbualan, tunjuk cara,dan bentu-bentuk pengalaman terus yang lain. Dalam kaedah ini guru cuma menggunakan bahasa sasaran sama seperti ibu bapa bercakap dengan anak dalam bahasa kanak-kanak itu sedang pelajari. Kaedah semula jadi bermula pada tahap mudah dengan bertanya kepada kanak-kanak tentang apa yang terdapat di sekeliling mereka atau daripada gambar mudah.

4. Kaedah ajuk-hafaz

Kaedah ajuk-hafaz ialah tatabahasa yang dipelajari secara menghafaz beberapa ayat asas melalui ajukan. Makna ayat diberikan dalam ungkapan biasa yang digunakan dalam bahasa ibunda secara umum dan bukan menterjemah perkataan demi perkataan. Misalnya, apabila semua ayat asas sudah dipelajari, kanak-kanak akan membaca deskripsi bahasa sasaran itu dalam bahasa ibundanya. Ayat asas tersebut akan diberi dalam bahasa kedua dengan persamaannya dalam bahasa ibunda mereka. Selepas itu, kanak-kanak akan mendengar lagi ayat-ayat daripada pertuturan yang menyambungkan ayat-ayat asas tadi sebagai latihan mendengar.

Keberkesanan kaedah ini dapat dilihat melalui kemahiran lisan seperti latihan bercakap, latihan menyebut perkataan dengan betul dan kemahiran lisan yang lain. Kaedah ini tercipta dalam dalam Rancangan Bahasa Insentif oleh Persatuan Cendekiawan Majlis Amerika (American Council of Learned Societies) dalam Perang Dunia Kedua bagi mengajar bahasa insentif kepada para pengawai tentera. kaedah ini dianggap amat berkesan kerana faktor dorongan yang kuat, latihan insentif, saiz kelas yang kecil dan model yang baik.

5. Kaedah Linguistik

Bidang linguistik ialah suatu bidang yang mengkaji bahasa dan mengandungi teori-teori dan teknik-teknik menganalisis bahasa yang dipelajarinya. Teori-teori dan teknik menganalisis bahasa ini dirumuskan oleh ahli-ahli bahasa dari permerhatian dan kajian mereka terhadap bahasa. Ferdinand de Saussure (1913) merupakan orang pertama yang menekankan bahawa linguistik bukanlah kumpulan unit-unit yang lintang-pukang susunannya tetapi merupakan unit-unit yang tersusun menurut struktur yang menyatakan hubungan unit-unit itu sendiri. Oleh hal yang demikian kaedah linguistik ini diaplikasikan dalam kaedah pengajaran bahasa kedua dengan membandingkan dua bahasa, iaitu antara bahasa yang dipelajari dengan bahasa yang telah diketahui oleh kanak-kanak sama ada bahasa ibunda atau bahasa yang lain. Fokus utama yang diberikan dalam kaedah ini dari segi bentuk dan fungsi bahasa di samping aspek bunyi, ayat makna dan sebagainya. Tamsilnya, guru haruslah memulakan pengajarannya dengan mengajar sebutan bunyi perkataan-perkataan bahasa kedua mempunyai persamaan dengan bahasa pertama atau bahasa yang diketahui oleh kanak-kanak tersebut.

 

6. Kaedah Suggestopedia



Kaedah suggestopedia merujuk kepada aktiviti yang dapat menggerakkan fungsi otak ketika pembelajaran bahasa. kaedah ini  telah diasaskan oleh Georgio Lazanoz pada tahun 1979. Menurut Georgi Lozanoz (1979),dalam tempoh 24 hari seseorang pelajar bahasa kedua boleh mempelajari 1800 patah perkataan, bertutur dengan berasaskan sesuatu rangka nahu dasar dan membaca sebarang teks. Antara aktiviti yang sesuai dijalankan ialah perbendeharaan kata, membaca,berdialog dan sebagainya. Satu kelainan yang tidak dapat dalam pengajaran bahasa lain ialah penggunaan alat muzik sebagi latar. Biasanya muzik digunakan ialah berunsurkan klasik. Alunan muzik bukan sahaja dalam mewujudkan suasana yang tenang malahan dapat merangsang keupayaan serta keseimbangan otak kiri dan kanan. Menurut Lazanoz 1978, kaedah ini dapat menyimpan ingatan daripada pembelajaran sebanyak 25 kali ganda daripada kaedah biasa.




 RUJUKAN:

Dardjowidjojo,S (2007). Psikolinguistik: Memahami Asas Pemerolehan Bahasa. Selangor: PTS Profesional.

Khazriyati Salehuddin (2018). Psikolinguistik Penerokaan Minda Berlandaskan Bahasa. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Noor Aida Dani (2017). Asas Psikolinguistik. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Norul Haida bt. Hj. Reduzan (2013). Ilmu Psikolinguistik. Perak: Emeritus Publications.

Zuraini Ramli (2018). Pengajaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kedua diperoleh daripada (PDF) Zuraini Ramli - Pengajaran Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kedua (researchgate.net)

 


 

Disleksia : Ciri-ciri Individu yang Mempunyai Disleksia


PENGENALAN 


Disleksia berasal daripada perkataan Greek iaitu dyslexia yang bermaksud dys-sukar dan lexis-perkataan. Maka disleksia dimaksudkan sebagai sejenis masalah pembelajaran khusus iaitu kesukaran terhadap perkataan. Kanak-kanak mempunyai masalah menguasai pembelajaran di sekolah walaupun mereka telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menguasai pembelajaran di sekolah dengan mendapatkan rangsangan serta panduan pembelajaran yang mencukupi. Masalah asasnya adalah perbezaan dari segi cara otak individu tersebut berfungsi dalam menghubungkan simbol visual dengan bunyi. Individu yang mengalami disleksia mungkin menghadapi kesukaran untuk membaca, menulis, memahami, mengeja dan mengira. Kajian mendapati bahawa dianggarkan 4 - 8 % pelajar sekolah mempunyai masalah disleksia dalam kalangan kanak-kanak lelaki lebih ramai berbanding perempuan.

            Rajah : Perbezaan antara Otak Individu Normal dengan Otak Individu Disleksia


CIRI-CIRI DISLEKSIA

Sebagai seorang guru adalah penting untuk mengetahui dan mengenal pasti masalah disleksia dalam kalangan pelajarnya. Terdapat beberapa ciri yang boleh dikenal pasti oleh para guru untuk mengesan anak-anak murid yang mempunyai masalah disleksia.

 Antara ciri-ciri tersebut ialah:

i. Tahap persekolahan

ii. Masalah fizikal dan pengurusan diri

iii. Masalah dalam pembelajaran

iv. Masalah dalam bahasa

v. Masalah semasa membaca

vi. Masalah penulisan 

1. Ciri-ciri Disleksia dari Tahap Persekolahan

Tahap Persekolahan

Ciri-ciri Disleksia

Kanak-kanak Prasekolah

Kemahiran bertutur yang lambat.

Sukar untuk memahami arahan yang diberi.

Suka menggantikan perkataan yang didengar

Kemahiran motor kasar dan motor halus yang lemah

Seringkali terlupa nama benda-benda yang dipelajari

Suka mendengar orang lain membaca tetapi tidak berminat untuk membaca sendiri

Murid-murid Sekolah Rendah

6 hingga 9 tahun

Kemahiran membaca, menulis dan mengeja yang lemah

Suka menterbalikkan perkataan, huruf dan nombor

Menggunakan jari untuk mengira dan membaca

Keliru dengan kiri dan kanan

Tulisan cermin atau terbalik

9 hingga 12 tahun

Kesilapan membaca, mengeja dan lemah dalam kefahaman

Mengambil masa yang panjang untuk menyiapkan latihan

Kesukaran menyalin maklumat yang tertulis pada papan putih atau terkandung dalam buku teks

Sukar mengikuti arahan lisan yang panjang

 Ciri-ciri disleksia lain yang dapat dikenal pasti adalah dari segi:

2. Masalah Fizikal, Pengurusan Diri dan Sosial


Individu yang mempunyai masalah disleksia biasanya cara pemakaian mereka tidak kemas tetapi tidak kotor. Sebagai contohnya, mereka mengenakan butang baju yang bukan pada kedudukan yang betul dan tali kasut tidak diikat dengan betul. Individu ini juga dikatakan seorang yang kidal. Mereka sering dilabel sebagai individu yang pemalas dan bodoh kerana mereka kurang memberi tumpuan semasa sesi pembelajaran dan kelihatan tidak berminat dalam pelajaran. Individu ini sentiasa keliru dengan arah iaitu di antara depan-belakang: kiri-kanan: atas-bawah. Walaupun telah diajar berulang kali kepada individu yang mempunyai disleksia, namun mereka tetap melakukan kesalahan yang sama. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka mempunyai masalah ingatan jangka pendek iaitu proses yang membolehkan maklumat diterima dan disimpan dalam tempoh yang singkat di antara 30 saat sehingga 24 jam. Hal ini berlaku kerana had muatan menyimpan maklumat yang adalah terhad. Sesetengah maklumat dalam sistem ingatan jangka pendek akan memasuki sistem ingatan jangka panjang dan diberi penumpuan dan diulang-ulang. Maklumat yang masih tersimpan di sistem ingatan jangka pendek akan padam atau hilang begitu sahaja. Oleh sebab itu, anak disleksia mengalami kesulitan memahami arahan yang panjang dalam satu waktu yang pendek. Mereka mempunyai pengamatan yang lemah dari segi pendengaran, penglihatan, dan mengingat kembali. Individu yang menghidap disleksia ini tiada masalah dalam komunikasi tetapi mereka lambat dalam tindakan berlisan.

 

 3. Masalah dalam Pembelajaran



Secara umumnya, kanak-kanak disleksia mempunyai kecerdasan yang normal dengan kanak-kanak yang lain. Kebanyakan mereka mempunyai IQ yang normal dan sebahagian daripda mereka mempunyai kecerdasan yang luar biasa. Walau bagaimanapun, mereka mempunyai masalah dalam mencari semula perkataan. Misalnya, di dalam kelas guru bertanyakan tentang apa yang telah dibaca oleh mereka dan mereka tidak dapat mengingati apa yang telah dipelajari atau dibaca pada masa lepas. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka hanya boleh mengingati peristiwa lepas hanyalah lebih kurang 10 minit lepas kejadian disebabkan daya ingatan mereka adalah lemah. Mereka juga sering mengalami masalah dalam mengingati nama kawan-kawan mereka walaupun sering belajar atau bermain bersama-sama. Apa yang paling malang juga, mereka juga sukar untuk mengingati nama ahli keluarga dan nama mereka sendiri. Mereka akan merujuk individi yang dimaksudkan itu sebagai ‘kawan saya di sekolah’ atau ‘budak lelaki itu’. di sekolah, mereka juga akan mengalami kesukaran untuk mengingati fakta-fakta terutama yang berkaitan dengan mata pelajaran Sains dan Sejarah. Apabila mereka ditanya suatu soalan, mereka tidak dapat menjawab secara spontan dan akan menjadi kaku serta bisu. Mereka juga mengalami kelemahan dalam menyelesaikan masalah matematik. Namun begitu, mereka berkemungkinan pantas menyelesaikan masalah matematik dalam bentuk matematik lisan atau congak. Hal ini dikatakan demikian kerana individu disleksia ini lebih memilih untuk menggunakan bahasa lisan daripada penulisan. Daya tumpuan individu disleksia yang terhad menyebabkan mereka sering merenung buku dan suka mengigit jari atau pen sewaktu sesi pembelajaran berlangsung, seolah-olah mereka tidak faham sewaktu membuat kerja bertulis.  

               

4. Masalah dalam Bahasa

Ciri-ciri disleksia lain yang boleh dikenal pasti dalam kalangan pelajar ialah individu disleksia ini akan mengalami kesukaran untuk belajar bahasa. Hal ini dikatakan demikian kerana kosa kata tulisan mereka tidak seimbang dengan kosa kata lisan dan mereka juga lemah dalam menyusun isi dalam penulisan mereka. Kebanyakan masalah kanak-kanak disleksia ialah sukar dalam mengingati maklumat secara tersusun seperti mengingat semula kronologi atau peristiwa yang berlaku dalam mata pelajaran Sejarah. Kekurangan kemahiran mengeja pada tahap sepatutnya juga merupakan ciri disleksia yang boleh didapati dalam diri individu disleksia. Hal ini disebabkan oleh kekeliruan dengan abjad-abjad yang mempunyai bentuk yang hampir sama. Kemahiran membaca teks bacaan atau babak bercetak turut menjadi kelemahan kepada individu yang mempunyai disleksia. Mereka akan mengalami ketidaklancaran ketika membaca teks bacaan kerana apabila mereka melihat abjad-abjad yang terdapat pada teks tersebut, mereka akan mengatakan bahawa tulisan pada teks itu sedang menari-nari.

       

5. Masalah Semasa Membaca

Apabila guru meminta individu yang mempunyai disleksia membaca buku di hadapan kelas, mereka berpura-pura membaca buku tersebut berpandukan gambar yang dilihat atau mereka akan mereka-reka cerita. Oleh sebab itu, mereka akan teragak-agak untuk membaca dan cuba mengelak dari membaca di kelas. Mereka juga menghadapi masalah pengekodan fonologi yang merujuk kepada hubugan sistematik antara huruf dengan bunyi. Secara ringkasnya, kanak-kanak disleksia lazimnya mengalami kesukaran membezakan antara ‘paku’ dengan ‘pasu’. mereka juga tidak dapat ‘mendengar’ rima akhir yang sama antara perkataan. Misalnya jika disuruh mengeja perkataan ‘diam’, ia kan menjadi “diyam” kerana mereka mengeja berdasarkan bunyi.menurut Presiden Persatuan Dylexia Malaysia (PDM), Sariah Amin, golongan disleksia kebiasaannya berdepan masalah membezakan huruf ‘b’ dengan ‘d’ , ‘m’ dengan ‘w’, ‘ny’ dengan ‘j’,’p’ dengan ‘q’dan ‘a’ dengan ‘e’ disebabkan bentuknya yang serupa walaupun cara membunyikannya berbeza. Ini juga bermakna mereka juga mempunyai kecenderungan untuk membaca nombor secara terbalik. Misalnya, nombor yang tertera di atas kertas ialah 15, namun kanak-kanak yang menghidap disleksia akan melihat nombor tersebut kepada angka 51. Kesukaran ini bukanlah disebabkan oleh masalah pendengaran, sebaliknya berkait dengan pemprosesan maklumat di dalam otak.

6. Masalah Penulisan

Tabiat dalam penulisan individu yang menghidap disleksia ialah tulisan mereka amat buruk sehingga tidak boleh dibaca serta mereka akan selalu menekan alat tulis sewaktu menulis. Anak disleksia ini juga tidak menggunakan huruf besar di depan ayat sewaktupenulisan dan tidak dapat menulis dengan lancar serta tepat. Kesukaran untuk melakukan peniruan dan penyalinan tulisan di papan tulis atau buku turut dialami oleh kanak-kanak disleksia ini. Mereka juga tidak boleh menumpu kepada sesuatu tulisan dengan lama. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka mudah penat apabila melihat huruf dalam waktu yang lama.

Untuk memahami lebih lanjut mengenai disleksia, anda boleh menonton satu cerita mengenai seorang budak lelaki yang mempunyai disleksia.

Link: https://www.youtube.com/watch?v=0qN4zVvM4HU















              

 RUJUKAN 

Aminah Kassim ( 2020, 28 Ogos). Disleksia diperoleh daripada Disleksia - PORTAL MyHEALTH

Iza Syahroni (2021). Ciri-ciri Disleksia pada Anak Usia Dini diperoleh daripada CIRI-CIRI DISLEKSIA PADA ANAK USIA DINI | Jurnal Buah Hati (bbg.ac.id)

Khazriyati Salehuddin (2018). Psikolinguistik Penerokaan Minda Berlandaskan Bahasa. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Norul Haida bt. Hj. Reduzan (2013). Ilmu Psikolinguistik. Perak: Emeritus Publications.

Zulikha Jamaludin (2017). Disleksia. Penerbit Universiti Putra Malaysia.



 



 

 

 

Peringkat Kanak-Kanak yang Tidak Normal Memperoleh Bahasa Pertama

PENGENALAN     P emerolehan bahasa pertama merupakan sebuah proses terjadi ketika kanak-kanak yang belum pernah belajar bahasa apa pun, mula...