Thursday, December 22, 2022

Peringkat Kanak-Kanak yang Tidak Normal Memperoleh Bahasa Pertama

PENGENALAN 

  Pemerolehan bahasa pertama merupakan sebuah proses terjadi ketika kanak-kanak yang belum pernah belajar bahasa apa pun, mulai menguasai sesuatu bahasa tanpa disedari atau dipelajari secara langsung iaitu tanpa melalui pendidikan secara formal, sebaliknya memperolehnya dari bahasa yang dituturkan oleh ibu bapa atau ahli masyarakat disekitarnya. Proses pemerolehan bahasa pertama ini memakan masa yang panjang untuk kanak-kanak itu mengenal sebuah bahasa sehingga dia fasih berbahasa. Menurut Dardjowidjojo, istilah pemerolehan dipakai untuk padanan istilah Inggeris acquisition, yang merupakan suatu proses penguasaan bahasa yang dilakukan oleh anak secara semulajadi semasa dia belajar bahasa ibunya. Manakala, Chaer pula memberikan pengertian bahawa pemerolehan bahasa atau acquisition merujuk kepada sebuah proses yang berlangsung di dalam otak kanak-kanak ketika dia memperoleh bahasa pertamanya.

    Pada umumnya, setiap bayi yang normal akan mengalami proses perkembangan bahasa secara berperingkat-peringkat dan bersifat arbitrari. Perkembangan bahasa kanak-kanak akan menjadi lebih mantap dan sempurna mengikut perkembangan usia kanak-kanak tersebut. Menurut Mangantar Simanjuntak (1987), peringkat perkembangan bahasa ini boleh dibahagikan kepada peringkat mengagah,peringkat holofrasa, peringkat ucapan dua kata, peringkat permulaan tatabahasa, peringkat menjelang tatabahasa dewasa dan peringkat kecekapan penuh. Seseorang kanak-kanak yang normal akan melalui tiga proses pemerolehan bahasa iaitu proses pemerolehan komponen fonologi,sintaksis dan semantik. Ketiga-tiga proses ini akan berlaku secara serentak.

 Kanak-kanak normal akan menguasai sesuatu bahasa jika dia terdedah kepada bahasa tersebut kerana dia akan mendengar dan meniru apa yang didengarinya (immitates). Walau bagaimanapun, tidak semua kanak-kanak mampu menguasai dan memperoleh bahasa mengikut kadar yang sama dari segi tempoh masa ataupun peringkat prestasi kemahirannya.

     Terdapat keseimbangan faktor-faktor pengaruh yang diperoleh oleh kanak-kanak disebabkan perbezaan kadar tersebut iaitu keadaan fizikal, kecerdasan, perkembangan kognitif dan daya diskriminasi, pengalaman,persekitaran,emosi, motivasi serta sahsiah.

    Kewujudan faktor-faktor pengaruh yang diperoleh oleh kanak-kanak ini serta perbezaan kadar yang ada atau yang diterima oleh mereka akan menimbulkan satu jurang perbezaan dari aspek pencapaian atau kemampuan kanak-kanak untuk menguasai bahasa. Faktor yang positif seperti persekitaran yang baik dan kondusif akan memberikan seseorang kanak-kanak itu pengalaman yang kaya ke arah perkembangan pemerolehan bahasanya.

 

    Kanak-kanak yang tidak normal berbeza dengan kanak-kanak normal yang sebaya dengan mereka dari segi mental, keupayaan pancaindera, kebolehan berkomunikasi, perlakuan sosial dan ciri-ciri fizikal yang terdapat pada mereka. Kelainan yang terdapat dalam diri kanak-kanak yang tidak normal ini menyebabkan mereka memerlukan pendidikan yang berlainan untuk mengembangkan keupayaan mereka ke tahap yang maksimum ( Krik & Gallagher, 1989 dalam Zamri Mahamod, 2007).

    Kanak-kanak yang tidak normal atau keperluan khas adalah gelaran yang diberikan kepada kanak-kanak istimewa atau kanak-kanak yang cacat. Peringkat pemerolehan bahasa kanak-kanak akan terganggu sekiranya kanak-kanak itu menghidap sebarang kelainan atau kecacatan pendengaran (pekak), kecacatan penglihatan (buta) dan kecacatan pertuturan (bisu).

  


PERINGKAT PEMEROLEHAN BAHASA 

Terdapat 4 peringkat pemerolehan bahasa kanak-kanak:

  1. Peringkat Bebelan (Vokalisasi) 
  2. Peringkat Pertuturan Satu Kata (Holofrasa) 
  3. Peringkat Pertuturan Dua Kata dan Tiga Kata (Telegrafik)
  4. Peringkat Perkembangan Ayat Kompleks






1. Peringkat Bebelan (Vokalisasi) Kanak-Kanak Tidak Normal


Kanak-kanak yang tidak normal mengalami peringkat vokalisasi yang sama seperti kanak-kanak normal iaitu pada usia 6 bulan. Mengikut Menn dan Stoel Gammon (Babbling:On-line), dalam perkembangan bahasa, tempoh vokalisasi pralinguistik atau tempoh mengagah boleh dibahagikan kepada lima tahap. Tahap pertama ialah tahap tangisan ‘cooling’ yang membolehkan kehendak dan keperluan bayi dipenuhi. Tahap kedua pula ialah tahap vokal atau bebelan. Bayi akan mula menghasilkan bunyi-bunyi berkukur atau mendekut dan pada ketika ini, dalam masyarakat Melayu, bayi-bayi dilabel sebagai sudah berkebolehan untuk “ mengagah”. Bunyi-bunyi berkukur ini terdiri dari bunyi-bunyi vokal rendah atau terbuka seperti /a:/ dan /o:/, dan bunyi-bunyi vokal tinggi dan tertutup seperti /u:/ dan /i:/. Pada peringkat umur 1 hingga 4 bulan, kanak-kanak tidak normal boleh menyebut bunyi-bunyi vokal, contohnya seperti ‘uuuuuuu…’ serta boleh menghasilkan pelbagai variasi bunyi. Bunyi-bunyi ini dipercayai dihasilkan oleh bayi sebagai tanda mereka sedang menerokai dan melatih alat-alat pertuturan mereka. yang menariknya, bunyi-bunyi berkukur yang dihasilkan oleh bayi ini adalah sama dan bersifat universal. Bunyi-bunyi yang dihasilkan adalah sama seperti kanak-kanak normal selepas tahap ini, bunyi-bunyi bahasa daripada kanak-kanak yang mengalami kecacatan pendengaran akan hilang sedangkan kanak-kanak normal akan meneruskan proses pemerolehan bahasa ke tahap berikutnya. Hal ini dikatakan demikian kerana masalah pendengaran yang dialami tidak membolehkan kanak-kanak ini mengadaptasi dan meniru bunyi bahasa dari persekitaran mereka. Justeru itu, pada usia 8 bulan, mereka tidak dapat mengadaptasi dan meniru bunyi bebelan berdasarkan tahap ( canonical babbling) yang tidak mirip dengan suku kata orang dewasa. Sewaktu kanak-kanak normal memperoleh bahasa verbal, kanak-kanak yang bermasalah pendengaran atau pekak masih lagi berada pada tahap komunikasi dengan menggunakan gerak badan (Mengantar Simanjuntak, 1987).

 

2. Peringkat Pertuturan Satu Kata (Holofrasa) Kanak-Kanak Tidak Normal



Pada peringkat umur 9 hingga 10 bulan, kanak-kanak telah dapat memberi isyarat atau menunjukkan sesuatu yang dikehendaki. Tindak balas ini akan berlaku kepada semua kanak-kanak termasuk kanak-kanak yang tidak normal juga. Mereka akan memberikan tindak balas vokal dan menyatakan hasrat melalui isyarat, gerak mata dan suara mereka. Manakala, kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran atau pekak tidak dapat memberikan tindak balas dengan sokongan dari suara. Kanak-kanak tidak normal akan menyatakan hasrat  mereka melalui isyarat anggota badan mereka seperti isyarat mata atau tangan tanpa sokongan suara berbeza dengan kanak-kanak normal yang menyatakan hasrat dan keinginan mereka dengan sokongan suara. Pada peringkat ini peranan sebagai ibu bapa sangat penting dalam melihat dan menyedari perkembangan dan perubahan tingkah laku serta bahasa kanak-kanak.

3. Peringkat Pertuturan Dua Kata dan Tiga Kata (Telegrafik) Kanak-Kanak Tidak Normal


Peringkat pertuturan dua atau tiga kata umumnya berlaku ketika kanak-kanak berusia 18 dan 24 bulan. Mereka sudah dapat menghasilkan kata-kata yang membentuk ayat pendek. Lain pula dengan kes kanak-kanak yang tidak normal seperti kanak-kanak yang pekak. Mereka tidak akan dapat mendengar dan meniru bunyi-bunyi yang ada di persekitaran mereka. Kanak-kanak ini masih boleh berbahasa dengan baik jika mereka didedahkan dengan persekitaran bahasa yang betul daripada individu yang serasi dan mempunyai hubungan yang rapat dengan kanak-kanak ini.

 

4. Peringkat Perkembangan Ayat Kompleks Kanak-Kanak Tidak Normal


 Dalam pemerolehan bahasa, kanak-kanak yang cacat penglihatan akan bergantung sepenuhnya kepada deria pendengaran, sentuhan, bau dan juga deria rasa mereka. Umumnya, kanak-kanak cacat penglihatan mampu berkomunikasi menggunakan kemahiran lisan atau bertutur dengan mendengar untuk belajar di persekitaran mereka. Sekiranya mereka tidak dapat menemui sesuatu yang diperlukan, mereka akan bertanya kepada orang lain dan perlu mematuhi peraturan yang diberikan kepadanya. Selain  itu, kanak-kanak yang cacat penglihatan juga lebih bergantung kepada kemahiran mendengar. Mereka memerlukan gaya serta intonasi yang betul, lancar dan nada sesuatu perkataan yang diucapkan sebagai bantuan untuk memudahkan mereka memahami sesuatu perkataan yang dituturkan itu.  








RUJUKAN 

Dardjowidjojo,S (2007). Psikolinguistik: Memahami Asas Pemerolehan Bahasa. Selangor: PTS Profesional.

Khazriyati Salehuddin (2018). Psikolinguistik Penerokaan Minda Berlandaskan Bahasa. Penerbit            Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Noor Aida Dani (2007). Siri Penataran Bahasa dan Sastera : Pengantar Psikolinguistik. Sasbadi Sdn. Bhd.

Norul Haida bt. Hj. Reduzan (2013). Ilmu Psikolinguistik. Perak: Emeritus Publications.

Suci Rani Fatmawati (2015,1 Jun). Pemerolehan Bahasa Pertama Anak Menurut Tinjauan                     Psikolinguistik  diperoleh daripada           http://journal.uinsi.ac.id/index.php/lentera_journal/article/view/429 



 

 



Peringkat Kanak-Kanak yang Tidak Normal Memperoleh Bahasa Pertama

PENGENALAN     P emerolehan bahasa pertama merupakan sebuah proses terjadi ketika kanak-kanak yang belum pernah belajar bahasa apa pun, mula...